Cikgu Jaafar kembali bersama AMANAH

Cikgu Jaafar kembali bersama AMANAH

Selepas dua hari menghantar surat peletakan semua jawatan dan keluar dari AMANAH, Jaafar Samsudin, 62, kembali menyertai parti itu.

Bekas Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Selangor tersebut berbuat demikian selepas pertemuan dengan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu di Shah Alam, pagi tadi.

“Insya-Allah saya akan menghantar surat permohonan kembali ke dalam AMANAH selewat-lewatnya hari ini,” ujarnya kepada pemberita selepas pertemuan santai di sebuah hotel.

Beliau yang dikenali sebagai Cikgu Jaafar pada 18 April lalu melepaskan tiga jawatan penting dalam AMANAH termasuk Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional dan Ketua AMANAH Kota Raja selain Pengarah Pilihan Raya AMANAH Selangor.

Sementara itu, Mohamad menyifatkan Cikgu Jaafar sebagai individu yang berjiwa besar untuk meneruskan perjuangan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang beliau bersama AMANAH dan terus bekerja untuk pilihan raya bagi memenangkan Pakatan Harapan.

“Apa yang berlaku hanya perkara kecil menjelang pilihan raya. Setiap orang ada pandangan masing-masing. Cikgu Jaafar berjiwa besar dan melihat gambaran yang perlu dalam PH.

“InsyaAllah, beliau akan bertugas sebagai anggota AMANAH dan Ketua Kawasan untuk memenangkan semua calon PH di Kota Raja,” katanya.

Terdahulu, Mohamad dan Jaafar bersarapan bersama di sebuah hotel di Shah Alam sambil berbual panjang kira-kira pukul 10.45 pagi.

Turut bersama dalam pertemuan hampir 40 minit itu adalah beberapa AJK AMANAH Kota Raja.

Cikgu Jaafar dikenali sebagai ‘orang lama’ yang komited dalam politik di Selangor dengan menyertai Pas pada 1998 dan memegang jawatan Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor sejak 2002 hingga 2015.

Mantan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Kota Raja itu juga kemudiannya meninggalkan parti itu pada 2016 sebelum menyertai AMANAH bersama Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Baca: Pengarah Biro Pilihanraya Amanah letak jawatan

8.0
OVERALL SCORE
6 user votes x 9.3
CATEGORIES