Cikgu pelik murid jalan seret kaki, sebak nampak kertas disumbat dalam kasut sekolah

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang guru tidak dapat menahan sebak apabila melihat keadaan kasut milik murid yang sering kali dilihat berjalan secara menyeret kaki di sekitar sebuah sekolah rendah.

Mana tidaknya, kasut sekolah berwarna hitam berkenaan bukan sahaja ada sedikit kesan koyak dan tampak lusuh malah saiznya juga lebih besar daripada tapak kaki pelajar terbabit.

Faktor inilah yang menyebabkan pelajar malang terbabit terpaksa menyeret kakinya kerana khuatir kasut bersaiz besar miliknya itu bakal tertanggal jika berjalan seperti biasa.

Simpati dengan nasib yang dialami oleh muridnya, guru terbabit memutuskan untuk menghulurkan bantuan dengan segera membelikan kasut baharu buat muridnya itu.

Namun alangkah sedihnya guru terbabit apabila terlihat beberapa gumpulan kertas di dalam kasut muridnya itu ketika mahu mengukur kaki kanak-kanak lelaki berkenaan.

@cikgu_farrah

minggu lepas ada kawan bgtau suruh tengok kasut murid ni sbb dia jalan seret2 kasut and aku pun mmg x cakap banyak terus ukur kaki dan p beli kasut baru utk dia.. sedihnya bila masa nak ukur size kaki nampak kertas dlm kasut.. dia sumbat kertas2 sbb kasut tu besar..

♬ Kamu Dan Kenangan – Shanna Shannon

“Minggu lepas adalah kawan beritahu, suruh tengok kasut seorang murid ini. Sebabnya dia jalan dengan menyeret kasutnya. Aku pun memang tak cakap banyak, terus ukur kaki.

“Nak pergi beli kasut baharu untuk dia. Namun sedihnya apabila nak ukur saiz kaki, ternampak kertas dalam kasut. Dia sumbat gumpulan kertas-kertas itu sebab kasut terlalu besar,” kata guru terbabit.

Tular di media sosial, perkongsian mengenai nasib kanak-kanak itu dibuat oleh guru dikenali sebagai Cikgu Farrah menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, baru-baru ini.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu berjaya meraih hampir 1 juta tontonan dengan rata-rata pengguna TikTok berkongsi rasa simpati dan merasa sebak di atas nasib pelajar berkenaan.

Ramai juga pengguna mengucapkan terima kasih kepada pemilik akaun TikTok tersebut kerana sudi membantu dan tidak berkira untuk menghulurkan bantuan dengan segera kepada pelajarnya.

Baca juga: Cuma ada satu di Malaysia, berapa sebenarnya kos nak bina jalan ‘glow in the dark’?