Cikgu ‘satu tangan’ hargai hadiah jam dari murid, gigih ubah suai agar dapat dipakai

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang guru berjaya meruntun jiwa orang ramai selepas memuat naik satu rakaman memaparkan dirinya ketika memakai jam tangan di sebuah platform media sosial.

Mana tidaknya, guru orang kurang upaya (OKU) yang hanya memiliki sebelah tangan itu terlihat begitu gigih berusaha untuk memakai jam pemberian dari anak muridnya.

Pemuda yang berusia 30 tahun itu juga sanggup mengubah suai semula jam tangan terbabit dengan menampalkan pita pelekat untuk memudahkan proses pemakaian.

Menerusi rakaman yang dimuat naik di laman TikTok, guru dikenali sebagai Abdullah Abd Kadir itu memulakan proses ‘ubah suai’ dengan mengukur pelekat jenis Velcro.

Pelekat Velcro yang diukur dan digunting mengikut bentuk hujung tali itu kemudian dilekat pada jam tangan sebelum dijahit sendiri oleh Abdullah menggunakan mesin.

“Apabila anak murid hadiahkan jam kepada cikgu yang hanya memiliki satu tangan. Alhamdulillah, sentiasa menjadi hamba Allah yang BERSYUKUR.

“Pastinya di setiap kesusahan serta kepayahan, dijanjikan ganjaran dengan pahala KESABARAN yang banyak.Terima kasih anak SKTU (Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Uban) hadiahkan jam ini. Amat dihargai,” kata guru terbabit.

Difahamkan, Abdullah merupakan seorang guru yang mengajar subjek Pendidikan Islam di SKTU iaitu sebuah pusat pengajian rendah terletak di Pasir Mas, Kelantan.

Mencuri perhatian ramai, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna kagum dengan semangat guru yang tidak membenarkan kekurangan menyekat kreativitinya.

Seorang pelayar TikTok turut berterima kasih kepada guru terbabit kerana memberi idea untuk mengubah suai jam kerana anaknya juga hanya memiliki sebelah tangan.

“Terima kasih cikgu kerana berkongsi ilmu. Anak perempuan saya berusia sembilan tahun juga memiliki sebelah tangan. Saya fikir buka sekolah nanti tiada yang tolong (pakai jam). Sekarang sudah tahu caranya,” kata pengguna terbabit.

“Walaupun di mata orang, cikgu kurang upaya. Tetapi sebenarnya cikgu sempurna sangat. Macam-macam boleh buat.” Kata pengguna lain yang kagum dengan kebolehan guru terbabit.

Baca juga: Kutip dana untuk buat infak ibadah korban, lelaki label pasangan ‘influencer’ mengarut, netizen siap sumbang lebih RM61k