Malaysia Dateline

CIMB Islamic rakan strategik terkini TH

Lembaga Tabung Haji (TH) dan CIMB Islamic Bank Bhd menjalin usaha sama rakan strategik bagi membolehkan pelanggan CIMB melaksanakan perkhidmatan TH di lebih 2,900 rangkaian terminal layan diri CIMB seluruh Negara.

Perkhidmatan ini akan memberikan kemudahan kepada lebih sembilan juta pendeposit TH.

Dalam kenyataan bersama hari ini, TH dan CIMB berkata menerusi kerjasama strategik ini, pendeposit TH dapat melaksanakan transaksi berkaitan TH seperti pengeluaran wang tunai, simpanan wang tunai;, pindahan wang dari akaun TH ke akaun CIMB dan sebaliknya, pendaftaran dan pembatalan ‘link’ kad ATM CIMB ke akaun TH serta pertanyaan baki simpanan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata kerjasama strategik ini akan meningkatkan akses perkhidmatan TH dari lebih 6,000 rangkaian perkhidmatan ‘touch points’ kepada lebih 9,000 di seluruh negara.

“Penggunaan saluran elektronik dengan konsep layan diri ini boleh diakses dengan mudah, serta bilangan pendeposit yang menggunakan kemudahan tersebut juga semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perkhidmatan ini secara keseluruhannya boleh diakses oleh pelanggan CIMB, tanpa mengira sama ada mereka mempunyai akaun CIMB Bank atau CIMB Islamic.

“Kerjasama strategik ini memberikan nilai tambah kepada pelanggan kami, dan ia mencerminkan fokus CIMB dalam mempertingkat kualiti perkhidmatan selari dengan teras pengalaman pelanggan yang menawarkan servis yang cekap dan mudah,” katanya.

— BERNAMA