CIMB salur RM12 bilion bantu golongan B40

CIMB salur RM12 bilion bantu golongan B40

CIMB Bank Bhd (CIMB Bank) dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic) menyasarkan untuk menyalurkan sekurang-kurangnya RM12 bilion kepada golongan berpendapatan rendah B40 dalam bentuk pinjaman perumahan, automotif, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan peribadi bagi tempoh 2019-2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata ini seiring dengan pelan pertumbuhan pertengahan akan datang CIMB, Forward23 yang menyaksikan bank itu menumpukan aspek keterangkuman kewangan untuk memenuhi visi memajukan pelanggan serta masyarakat.

“Kesejahteraan negara akan hanya bermakna apabila setiap rakyatnya mampu makmur. Oleh itu, sebagai pihak yang peka dengan segmen B40, CIMB telah mengambil langkah bagi memastikan dasar pinjaman yang terangkum dari segi kewangan.

“Kami juga akan terus mengenal pasti cara bagi membantu segmen B40 itu sama ada menerusi operasi perniagaan kami atau inisiatif tanggung jawab korporat,” katanya dalam satu kenyataan  pada Ahad.

Segmen B40 itu merangkumi peratusan penting pelanggan runcit CIMB Bank dan CIMB Islamic sejak 2016.

Antara bukti komitmen CIMB Bank dan CIMB Islamic membantu segmen B40 adalah menerusi penawaran kadar pembiayaan terendah dalam pasaran iaitu 2.9 peratus setahun di bawah Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia.

Dana RM1 bilion itu bertujuan membantu golongan B40 membeli kediaman pertama mereka.- BERNAMA