Cincin berlian merah jambu dibeli guna wang 1MDB, tegas Rafizi

Cincin berlian merah jambu dibeli guna wang 1MDB, tegas Rafizi

Kenyataan kerajaan berhubung cincin berlian merah jambu pada 8 April lalu tidak dapat menafikan bahawa pembelian itu disiasat kerana menggunakan wang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, kenyataan tersebut tidak bermaksud Datin Seri Rosmah Mansor tidak membeli dan membayar barangan mewah itu.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat untuk melihat pembelian isu cincin yang didakwa dibeli oleh isteri Najib Razak tersebut dengan tindakan mahkamah oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

Jabatan tersebut sebelum ini menyatakan wang 1MDB dipercayai diguna untuk membeli cincin berlian 22 karat sebagai hadiah kepada Rosmah.

“Sekarang ini yang jadi isu siapa yang bayar dan pakai duit siapa. Kalau ikut fakta siasatan dari Amerika Syarikat mengatakan bahawa berlian itu dibayar menggunakan wang 1MDB, tiada orang mempersoalkan berlian itu dibayar dan tujuannya untuk diberikan hadiah kepada Rosmah.

“Datuk Seri Najib Tun Razak kata, berlian itu ada, dia dengar, dibayar tapi yang bayar itu orang lain bukan duit 1MDB nak beri hadiah kepada Rosmah.

“Fakta akhirnya Rosmah tak dapat berlian itu tidak menidakkan fakta bahawa berlian itu dibeli menggunakan wang yang mengikut siasatan di Amerika Syarikat bahawa wang itu adalah wang 1MDB,” jelasnya.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program ceramah di pekan Rantau malam tadi.