Malaysia Dateline

Cincin lambang peribadi Sultan Johor: Polis panggil Wak Doyok

Ekoran menggunakan cincin berukiran mempunyai lambang peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Wak Doyok dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini.

Personaliti fesyen dan pelakon itu disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 41, hadir ke IPD Iskandar Puteri dari Klang sejak jam 11 pagi tadi.

“Kes ini sebenarnya sudah lama, dia membeli cincin pada 2012 secara dalam talian dari sebuah syarikat di Indonesia.

“Namun, satu laporan polis sudah dibuat Selasa lalu oleh kerajaan Johor dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

“Kertas siasatan akan disiapkan sebelum ia diberi pada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan susulan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Ayob Khan berkata, Wak Doyok berdepan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 atau tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

“Memang menjadi kesalahan di Johor mengikut enakmen ini kerana tidak ada mana-mana individu boleh menggunakan, menempah, menghasilkan, menyalahgunakan lambang dan anugerah yang dikurniakan oleh Sultan Johor kecuali selepas mendapat kebenaran bertulis daripada Sultan Johor.

“Saya bagi amaran jangan sewenang-senangnya menggunakan memakai membuat menyalahgunakan lambang ini kerana ia adalah satu kesalahan,” katanya lagi.

Semalam, Wak Doyok dilaporkan memohon maaf kepada keluarga Diraja Johor selepas ditegur Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim apabila dia menempah sebentuk cincin menggunakan ukiran lambang peribadi Sultan Johor.

Pengasas bersama jenama pakaian The Garment dan cerut WD Cigar itu membuat permohonan maaf di akaun Instagram selepas turut diminta memberi penjelasan oleh Tunku Idris di akaun Instagram baginda.