Citra Islam pada AMANAH penting berdepan asakan Umno-Pas

Citra Islam pada AMANAH penting berdepan asakan Umno-Pas

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim berpendapat citra Islam pada parti tersebut penting diberi penekanan bagi berdepan asakan isu Melayu Islam yang dimainkan oleh Umno-Pas.

Menurut Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (KANUN) Nasional itu, parti tersebut tidak perlu ‘takut’ untuk membawa wajah Islam dalam khalayak rakyat.

“Kita harus terima hakikat AMANAH adalah parti Islam. Itu sudah termaktub dalam perlembagaan (parti).

“Hanya bagaimana untuk kita mewajahkan AMANAH ini pada rakyat. Tidak kisah sama ada pimpinan dan anggota AMANAH pakai jubah, serban, atau hanya ustaz yang hanya pakai kasual, Islam itu tetap menjadi citra AMANAH.

“Kita tidak perlu takut untuk bawa wajah Islam AMANAH itu sendiri. Tambahan pula, dalam persiapan menuju pilihan raya, naratif Melayu dan Islam itu sangat kuat.

“AMANAH memang patut dikenali sebagai parti Islam sebab kita berdepan naratif Melayu Islam yang kuat dari sebelah sana (pembangkang),” tegasnya.

Wan Anwar berkata demikian pada Forum Pemuda Hala Tuju Pemuda AMANAH dalam Landskap Malaysia Baharu di Bandar Sri Sendayan, Seremban baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berpendapat AMANAH pada masa sama perlu mengimbangi keperluan untuk mengetengahkan idea Islam yang rahmah kepada pengundi.

“Kita bukan bercakap tentang hanya lima maqasid syariah tetapi juga soal penegakan keadilan sosial, misalnya.

“Itu maqasid syariah yang dipopularkan ulama kontemporari yang belum difahami sebaiknya dalam masyarakat kita,” jelasnya.

Sehubungan itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan menegaskan AMANAH perlu untuk membawa agenda Islam.

“Jangan kita bersikap apologetik untuk membawa agenda Islam menerusi parti AMANAH,” tambahnya lagi yang juga Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Selayang, Selangor.

Wan Anwar mengetuai pasukan Pemuda Wibawa dalam pemilihan sempena Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional pada 26 dan 27 Oktober ini.

Dua pasukan lagi iaitu Pemuda Bekerja diketuai bekas Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Pemuda Bangkit diterajui Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi.