Cium dahi isteri sebelum naik pentas, Beto akui terbiasa, tiada niat menunjuk kemesraan

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya ada tabiat atau rutin yang dilakukan artis menjadi tular walaupun hanya sekadar kucupan mesra buat pasangan halal.

Tapi kalau sudah nama pun artis maka segala gerak geri diperhatikan dan tak lama selepas itu muncul segala klip pendek di media sosial.

Buat pelakon Imaginur, Beto Kusyairi mengakui tidak selesai apabila videonya mengucup dahi isteri sebelum naik ke pentas tular.

Menurut Harian Metro, Beto tidak menyangka aksi spontannya itu menarik perhatian ramai dan enggan dianggap sengaja menunjuk kemesraan.

Tular sebelum ini video Beto mengucup dahi isterinya, Tisha Shahar di belakang pentas ketika membuat kemunculan istimewa untuk persembahan Amir Jahari Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38.

“Saya kurang selesa bukan apa, tapi malu sebenarnya. Takut ada yang melihat rutin itu sebagai niat untuk menunjuk dan sebagainya.

“Namun, jauh sekali untuk nak menunjukkan rasa kasih sayang itu pada semua orang, apatah lagi untuk tontonan umum. Memang tiada niat apa-apa.

“Apa yang boleh saya katakan, itu memang rutin saya sebelum nak naik pentas dan sebagainya. Saya mahukan berkat sebelum memulakan sesuatu majlis atau acara.

“Tak sangka pula ia dirakam dan menjadi viral di media sosial. Saya dan isteri pun tak tahu bagaimana hendak memberikan reaksi,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Pada masa sama Beto mengakui ada sedikit kelainan tahun ini selepas pemergian Allahyarham bapa mentuanya.

“Sama seperti Ramadan sebelumnya, cuma bezanya kali ini tanpa bapa mentua. Jadi, rasa seperti kosong dan ada ruang yang kosong.

“Apa pun, semoga arwah berada dalam kalangan orang yang soleh,” tambahnya.

Baca juga: Bagi alasan sayang, Aliff Aziz tak mahu ceraikan Bella, pilih ibu jadi JKP