Clare tidak yakin selamat jika datang  beri keterangan 1MDB

Clare tidak yakin selamat jika datang beri keterangan 1MDB

Ketua Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown tidak yakin untuk ke Malaysia bagi memberikan keterangan dalam skandal 1MDB walaupun diberikan imuniti oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Parlimen Malaysia.

“Saya tidak yakin akan selamat jika ke Malaysia dan belum tentu dapat kelulusan dari Pengerusi PAC Malaysia. Namun saya bersedia memberikan keterangan melalui tele sidang semacam ini,” kata Claire dalam lintas langsung ke Sungai Besar dari London semalam.

Beliau membuat ucapan kepada perhimpunan Kolokium 1MDB oleh kumpulan Deklarasi Rakyat yang dianjurkan oleh DAP di sebuah Dewan Cina di Sekinchan.

Claire memberikan keterangan terus dari London melalui Skype kepada penal dan peserta yang berhimpun di dewan itu selepas ditanya oleh ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang apakah beliau bersedia untuk datang ke Malaysia memberikan keterangan kepada PAC mengenai 1MDB.

Claire adalah wartawan pertama di dunia mendedahkan skandal 1MDB melalui Sarawak Report yang dipimpinnya.

Minggu lalu, pengarang kumpulan New Strait Times meletakkan jawatan kerana tidak mahu lagi bersekongkol dengan menutup cerita 1MDB ini.

Sebelum itu, seorang wartawan kanan Utusan Malaysia juga meletakkan jawatan kerananya.

“Bebanan saya kini sudah berkurang selepas tugas ini telah diambil oleh wartawan dari seluruh dunia untuk membuat pendedahan mengenai 1MDB,” katanya yang juga mengucapkan tahniah ke atas keberanian wartawan Malaysia yang berani membuat laporan di bawah tekanan yang kuat.

“Saya sekarang sibuk melayan wartawan dari seluruh dunia yang bertanya tentang cerita 1MDB ini,” kata Claire.

Claire juga berkata, beliau menulis tentang 1MDB bukan untuk menyerang Malaysia tetapi mahu memberikan contoh masalah yang dihadapi oleh sistem kewangan dunia.

“Apa yang terkena kepada Malaysia juga memberi kesan kepada kewangan dunia. 1MDB hanya satu contoh saja. Ia satu contoh jenayah kewangan dunia,” kata Claire ketika ditanya kenapa beliau menulis tentang 1MDB.   Menurut Claire, semua wartawan telah menjalankan tugas mereka untuk membuat laporan.

“Sekarang terserah kepada pengundi untuk buat keputusan. Jangan harap perletakan jawatan akan berlaku. Saya akan teruskan tugas saya dari luar dan tidak ada yang saya nak sembunyi,” kata Claire dalam lintas langsung itu.

COMMENTS

Wordpress (0)