‘Clean Up The World 2018’ : 2 tan metrik sampah dikutip dalam tempoh 2 jam

YDP MPSP, Datuk Sr Rozali Mohamud (belakang – berdiri lima dari kanan) bersama-sama sebahagian peserta program ‘Clean Up The World 2018’ semalam.

Program ‘Clean Up The World 2018’ di lima kawasan dalam Seberang Perai, dalam tempoh dua jam telah diadakan semalam, berjaya mengutip sebanyak dua matrik tan sampah.

Kejayaan ini sekali gus memecah rekod Malaysia Book Of Records (MBOR).

Demikian dinyatakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Sr. Rozali Mahamud.

Menurut beliau lagi, dua tan sampah yang telah berjaya dikutip dalam tempoh singkat selama dua jam itu adalah sampah yang boleh dikitar semula.

“Botol, plastik, kotak, pembungkus makanan, cawan dan sebagainya merupakan antara bahan buangan yang telah berjaya dikumpulkan dalam program tersebut.

“Kejayaan ini amat membanggakan kerana ia telah berjaya memecah rekod MBOR.

“Ia juga memperlihatkan betapa eratnya gandingan serta kerjasama yang wujud dalam kalangan masyarakat bagi memastikan alam sekitar berada dalam keadaan bersih,” jelasnya.

Namun begitu katanya, yang turut mendukacitakan, kejayaan kutipan yang begitu besar membuktikan masih ramai masyarakat membuang sampah di merata tempat.

Sehubungan itu ujarnya, dengan adanya program ‘Clean Up The World 2018’ kali ini memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak membuang sampah merata-rata.

Malah tegasnya, negara pada ketika ini menduduki tangga kelapan bagi senarai negara paling banyak membuang sampah ke laut.

“Setiap tahun sebanyak 0.9 atau bersamaan 900,000 matrik tan plastik yang tidak dikitar semula telah berjaya dikutip dalam negara ini.

“Daripada jumlah tersebut pula sebanyak 0.37 atau 370,000 matrik tan pula telah dialirkan ke laut.

“Jumlah ini adalah bersamaan dengan berat sampah yang dibawa ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Seberang Perai Selatan iaitu sebanyak 245,000 matrik tan setahun,” tambahnya lagi.

Beliau juga berkata, situasi ini amat kritikal dan mampu mengancam kehidupan laut pada masa yang akan datang.