Columbia Asia akan miliki 10 hospital baharu menjelang 2022

Columbia Asia akan miliki 10 hospital baharu menjelang 2022

Columbia Asia, yang ketika ini mempunyai 29 hospital dan klinik di seluruh Malaysia, India, Indonesia dan Vietnam, sedang meneroka satu lagi peluang pengumpulan modal untuk membina 10 projek hospital baharu dalam tempoh empat tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr.Kelvin Loh berkata proses pengumpulan dana dijangka bermula seawal tahun depan.

“Operasi kami berjalan dan berkembang dengan baik malah akan terus sedemikian. Pada masa akan datang, kami mungkin meneroka peluang pengumpulan modal kerana kami berminat melabur untuk mempunyai lebih banyak hospital, seperti dilakukan pada pusingan pertama pengumpulan modal berjumlah RM800 juta melalui pelaburan persendirian awal tahun ini,” katanya kepada Bernama selepas pembentangan korporat kepada media tempatan di sini hari ini.

Loh berkata Columbia Asia adalah antara rangkaian hospital yang berkembang pesat di Asia.

Berdasarkan pengalaman selama 10 tahun, syarikat itu telah membina dua hospital setiap tahun, berasaskan model perniagaan unik hospital modular yang amat boleh skala dibina dalam kluster, ia meminimumkan risiko pelaburan dan pada masa sama memaksimumkan keuntungan.

“Kami melihat aliran itu berterusan. Kami terbuka untuk peluang pengumpulan modal, namun tiada jumlah yang dapat dipastikan dan tiada apa-apa yang sedia untuk diumumkan (setakat ini),” katanya mengulas laporan berita yang memetik syarikat induk, Columbia Pacific Management, mempertimbang untuk menjual satu daripada pengendali hospital Asianya bagi satu janji niaga yang boleh memberi nilai perniagaan itu sehingga US$2 bilion. (US$1 = RM4.19).

Ketika ini Columbia Asia mempunyai 12 hospital atau klinik di Malaysia, 11 di India, dan tiga lagi masing-masing di Indonesia dan Vietnam.

Menerusi aktiviti pengumpulan modal baharu itu, rangkaian tersebut dilihat akan mempunyai tiga hospital baharu di Malaysia.

— BERNAMA