Common Ground lancar ruangan kerja bersama pertama di Pulau Pinang

Common Ground lancar ruangan kerja bersama pertama di Pulau Pinang

Peneraju industri ruangan kerja bersama terbesar di Malaysia, Common Ground melancarkan lokasi pertamanya di Pulau Pinang, di Moulmein Rise Shoppes, Pulau Tikus di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Common Ground Juhn Teo berkata pembukaan outlet baharu itu menjadikan jumlah lokasi jenama kerja bersama tempatan itu kepada 14, di dalam dan di luar negara.

“Selain Kuala Lumpur, infrastruktur dan pasaran perniagaan Pulau Pinang yang semakin pesat menjadikan bandar raya itu dilengkapi dengan baik untuk menjadi pusat perniagaan tumpuan negara yang akan datang.

“Kami di Common Ground berasakan pasaran berada pada persekitaran yang sesuai untuk mula memperkenalkan gaya hidup kerja bersama kami yang dibina dalam komuniti dan sinergi,” katanya dalam ucapan pada pelancaran outlet itu oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow malam ini.

Terletak di tingkat dua Moulmein Rise Shoppes, katanya ruangan kerja bersama dengan keluasan 18,000 kaki persegi itu akan dapat menampung lebih 250 usahawan pada bila-bila masa dan akan memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Pulau Pinang.

Sementara itu, Chow berkata pembukaan Common Ground yang pertama di Pulau Pinang itu turut sejajar dengan Wawasan 2030 Pulau Pinang dan menunjukkan negeri ini bersedia untuk menjadi pusat perniagaan Malaysia yang akan datang.

Beliau berkata pelancaran Common Ground Pulau Pinang itu tepat pada masanya berikutan negeri ini menyasarkan untuk menjadi sebahagian daripada Transformasi Industri  4.0, yang melibatkan analisis data raya, e-dagang, ‘crowdsourcing’, pengkomputeran awan dan Internet of Things.

“Daripada syarikat pemula niaga kepada PKS kepada syarikat yang lebih besar, platform kerja bersama yang dinamik akan membantu mewujudkan hubungan dan sinergi yang diperlukan bagi pertumbuhan inovatif ekosistem perniagaan.

“Kami berharap komuniti perniagaan di Pulau Pinang akan mengembangkan rangkaian mereka dan menikmati  ruang yang menarik dan kolaboratif ini,” katanya.

— BERNAMA