Malaysia Dateline

‘Confirm’ dia tak hantar kurma tahun ini, kata Najib kepada Mahathir

Tindakan polis Langkawi memetik tulisan Datuk Seri Najib Razak dalam Facebooknya bakal menyebabkan beliau tidak akan mendapat hadiah sempena hari raya tahun ini dari Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib dalam lontaran di Facebooknya berkata demikian ekoran tindakan Mahathir memaklumkan beliau sedia menerima hukuman berikutan kegagalan beliau mematuhi SOP ketika bertemu rakyatnya di Langkawi baru-baru ini.

“Entah kenapa Polis Langkawi perlu petik nama saya. Lagi bertambah marah dia.

“Confirm dia tak hantar kurma atau kuih raya padaku tahun ini,” kata Najib menerusi Facebook beliau sambil mengepilkan kenyataan polis Langkawi.

Dalam kenyataan itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata, susulan satu video yang dimuat naik di dalam Facebook “Najib Razak” yang memaparkan YB Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mengimbas MySejahtera dan suhu ketika hadir di satu majlis, semakan mendapati ia berlaku pada 8 Mei 2021 di surau Raudhatul Jannah, Kuala Teriang, Langkawi.

“Pihak polis akan memulakan siasatan di bawah seksyen 269 Kanun Keseksaan/Peraturan 16, peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit 2021,” kata beliau.

Ekoran itu, Mahathir telah membuat kenyataan beliau sedia menerima hukuman kerana kelalaian beliau tidak mematuhi SOP itu.

Hubungan Mahathir dengan Najib menjadi keruh ekoran skandal 1MDB sehingga Najib digelar sebagai perompak oleh Mahathir sehingga kerajaan BN pimpinannya jatuh dalam PRU-14 lalu.