Contohi akhlak mulia Rasullullah S.A.W, kata Tun Juhar

Contohi akhlak mulia Rasullullah S.A.W, kata Tun Juhar

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin mengajak seluruh umat Islam termasuk pemegang tampuk kepimpinan agar mencontohi akhlak mulia Rasulullah S.A.W demi kelangsungan pembangunan diri, keluarga dan negeri Sabah tercinta.

Tun Juhar berkata umat Islam amat bertuah kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung dan sejati serta memberi contoh teladan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk tatacara pemerintahan yang begitu bernilai.

“‘Rendah dirilah kepada manusia, duduklah bersama orang-orang miskin, nescaya kamu akan menjadi orang-orang besar di sisi Allah dan kamu akan keluar dari perasaan takbur’,”kata Juhar memetik hadis Rasulullah S.A.W ketika menyampaikan perutusannya pada majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar.

Terdahlu, Tun Juhar dan isteri serta Mohd Shafie menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul bersama kira-kira 10,000 umat Islam dari Avenue Sutera ke Masjid Negeri Sabah.

Menurut Tun Juhar, Rasulullah Muhammad S.A.W merupakan manusia agung yang menjadi lambang kepada kesempurnaan Islam, bukan sahaja cemerlang dari segi ibadat, sahsiah serta akhlak malah turut terserlah dari sudut kebijaksanaan dalam berpolitik dan pemerintahan.

“Islam tidak hanya ingin melahirkan ahli ibadah (‘abid) dan ahli ‘ilmuan (‘Ulama) akan tetapi turut melahirkan ahli politik dan pemerintah mengikut acuan wahyu dan hidayah Allah.Bukan juga ingin melahirkan pemimpin sekadar berjiwa rakyat, akan tetapi lebih dari itu berkemampuan untuk membimbing rakyatnya.

“Iaitu seorang pemimpin yang mengetahui dengan baik landasan mana yang harus diikutinya selama mana ia memerintah rakyatnya. Dalam setiap keputusannya, dipastikan untuk kemaslahatan rakyat, bukan diri sendiri,”katanya.

Menurut Tun Juhar pemimpinan yang memiliki kualiti kepimpinan seperti itu akan menyedari bahawa di bawah kekuasaannya adalah rayat namun pada masa sama menyedari bahawa ada Tuhan yang sentiasa memerhati dan menghisab segala tindak tanduknya serta perlakuannya.

Katanya kualiti kepimpinan itulah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Muhammad S.A.W dah hasil bimbingan dan didikan Rasulullah, kualiti kepimpinan itu turut diikuti  parah sahabatnya termasuk Khalifah Abu Bakar as-Siddiq.

Pada majlis berkenaan, Tun Juhar turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada Datuk Hanan Ramli bagi kategori lelaki dan Ustazah Zubaidah Jammadi bagi kategori wanita manakala Anugerah Khas Maulidur Rasul pula diberikan kepada Najion Jamil.

— BERNAMA