Malaysia Dateline

Contohi cara Nabi, sahabat rai perbezaan cara berfikir

Dalam urusan agama, lebai mahu kita berfikir macam depa berfikir. Jika kita berfikir berbeza, depa akan label kita anti agama atau sokong maksiat.

Dalam isu tutup premis judi misalnya, depa akan label kita sokong judi apabila kita berfikir berbeza dengan cara depa berfikir.

Situasi ini sama seperti isu hudud, RUU 355 dan isu arak. Apa yang depa fikir, itulah yang muktamad. Jika kita fikir berbeza, siaplah kena label, kena maki.

Apabila kita kata, nak tutup premis judi, jangan dibuat sebarangan. Pastikan tidak menatijahkan sesuatu yang lebih buruk. Industri judi sifatnya rencam.

Kita hormat cara fikir depa untuk menutup premis judi. Silakan. Tapi pada masa yang sama, depa kena juga melihat cara berfikir dan sudut pandang orang lain.

Boleh jadi orang lain nampak apa yang depa tidak nampak dan tahu apa yang depa tidak tahu. Depa tidak boleh rasa depa nampak dan tahu semua benda.

Nabi sendiri pun hormat cara fikir sahabat walaupun Nabi ada cara fikirnya sendiri. Misalnya, dalam kes untuk berkubu semasa peperangan Badar.

Nabi terima saranan sahabat untuk berpindah lokasi. Jika Nabi boleh terima idea sahabat, siapalah sangat kita yang serba lekeh ini? Bahkan, Nabi terima idea isterinya dalam kes penyembelihan binatang dalam peristiwa Hudaibiah.

Abu Bakar lebih senior daripada Umar dalam ranking sahabat. Tapi Abu Bakar terima pandangan Umar supaya al-Quran ditulis secara tersusun.

Begitu cara Nabi dan sahabat meraikan perbezaan cara berfikir. Nabi dan sahabat tidak melabel orang yang ada idea berbeza sebagai lawan Nabi, atau lawan Islam atau sebagainya.

Satu hal yang sangat diberi perhatian oleh agama ialah, mencegah mungkar tidak boleh menyebabkan lahirnya mungkar lain yang lebih besar.

Sesuatu mudarat tidak boleh dihilangkan dengan mudarat yang lebih besar. Misalnya, jika kita cegah seseorang minum arak, orang itu akan bunuh diri.

Dalam situasi ini, bunuh diri adalah mudarat yang lebih besar daripada minum arak. Bukan kita setuju dia minum arak, tapi perlu cari pendekatan pencegahan lain supaya bunuh diri tidak berlaku dan orang itu berhenti minum arak.

Apabila kita berfikir begitu depa kata kita liberal, lembik, tunduk kepada kaki maksiat! Kadang-kadang yang tuduh begitu bukan lulus 4 thanawi, tapi tulis dalam profil Facebook, lulusan al-Azhar.

Ya Allah, agama-Mu yang hanif (murni) ini indah. Ampunilah kami jika kami gagal dalam usaha menyerlahkan keindahan agama-Mu ini.