Malaysia Dateline

Contohi negara maju kenakan hukuman mandatori lebih berat kepada pemandu mabuk

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk mengkaji semula hukuman mandatori lebih berat ke atas pemandu mabuk.

Beliau berpendapat hukuman sedia ada terhadap pemandu mabuk adalah ‘tidak mencukupi’ dan tidak adil.

Menurutnya, Malaysia perlu mencontohi beberapa negara maju yang memandang serius terhadap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dengan mengenakan hukuman setimpal.

Untuk rekod, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk dicatatkan dengan lapan mangsa meninggal dunia bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Jumlah tersebut menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Sehubungan itu, Lee Lam Thye menggesa kerajaan untuk melihat semula pindaan memandangkan masih ada individu pada masa ini tidak gentar dengan masih memandu dalam keadaan mabuk.

“Saya berpendapat bahawa hukuman ini memanglah tidak mencukupi. Oleh sebab itulah, masih ada orang yang tidak takut kepada undang-undang dan masih melakukan kesalahan itu.

“Penalti itu memanglah perlu ditingkatkan, agar ia menjadi satu pengajaran pahit kepada mereka yang terbabit.

“Penalti itu memanglah perlu ditingkatkan, agar ia menjadi satu pengajaran pahit kepada mereka yang terbabit.

“Saya rasa adalah pentingnya untuk Malaysia mempelajari atau mencontohi negara-negara lain terutama negara maju seperti Australia, United Kingdom, dan beberapa negara barat lain di mana apabila seseorang itu didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol,” lapor Astro AWANI.

Aktivis sosial itu menyarankan pesalah terbabit perlu dipenjarakan lebih lama dan pada masa sama lesen memandu atau kelayakan memandu ditarik balik untuk tempoh yang agak panjang.

Beliau turut menggesa agensi berkaitan menganjurkan kempen kesedaran besar-besaran dan berterusan bagi mendidik orang ramai tentang bahaya memandu dalam keadaan mabuk selain memperkasakan kesedaran komuniti.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Dua minggu lagi

Pada 29 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pindaan kerajaan akan mengambil langkah segera bagi memastikan cadangan pindaan Akta 333 yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen dalam tempoh terdekat.

Takiyuddin Hassan2
Takiyuddin Hassan

Katanya, antara pindaan yang dibuat bukan sahaja membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian iaitu Seksyen 44, Akta 333 tetapi juga memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan mengikut Seksyen 45 akta sama walaupun tidak terbabit dalam apa-apa kemalangan.

Kelmarin, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas mengulang perkembangan cadangan pindaan itu dengan katanya akan dibawa ke Kabinet selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Sebelum ini Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan individu mabuk sepatutnya menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Reaksi Presiden MCA itu dilihat tidak selari dengan semangat Pas yang pada masa ini berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu lantang menuntut hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bahkan, ketika isu pemandu mabuk menyebabkan kemalangan maut menggemparkan masyarakat, sebuah kedai serbaneka 24 jam memohon 45 lesen menjual arak bagi cawangan premisnya di seluruh 11 Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Permohonan bagi lesen minuman keras itu juga merangkumi kawasan penempatan majoriti masyarakat Melayu Islam seperti di Taman Koperasi Polis Fasa 2 beralamat di No.28, Jalan 59/10 dan Bandar Sri Permaisuri di Parlimen Bandar Tun Razak.

Susulan kenyataan Ka Siong itu, pemimpin PH menganggap kerajaan PN tidak serius menangani masalah individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berpendapat PN lambat bertindak berbanding PH yang sebelum ini telah bersetuju meningkatkan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk melalui pindaan Seksyen 41, 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan.