Malaysia Dateline

COP26 dan ikan bakar di Melaka

Mengapakah kebanyakan pemimpin-pemimpin dunia bertumpu di Glasgow Scotland pada 1 dan 2 November lalu untuk menghadiri Persidangan Perubahan Cuaca Bangsa-Bangsa Bersatu?

Mereka mahu menunjukkan komitmen negara-negara masing-masing untuk berusaha mengurangkan pemanasan dunia yang dianggarkan akan melebihi sasaran 1.5% celsius pada akhir abad ini sekiranya tindakan yang drastik tidak diambil terutamanya untuk mengurangkan pengeluaran gas-gas rumah hijau.

Peningkatan suhu dunia sedang dan akan mempengaruhi kehidupan manusia. Cuaca yang lebih panas akan menyebabkan air laut berkembang dan meningkatkan aras laut.

Ini akan menengelamkan tanah yang digunakan sebagai tempat tinggal, ladang dan pelbagai kemudahan manusia yang terletak di tepi laut.

Mungkin gerai-gerai yang menjual ikan bakar di Melaka juga akan tenggelam bila risiko perubahan cuaca ini menyerlahkan kesannya.

Ini mungkin bukan isu utama di dalam pilihanraya negeri yang akan berlansung kerana masyarakat kita nampaknya tidak peduli sangat perkara-perkara masa depan sebegini.

Mengapa saya katakan masyarakat tidak peduli?

Apabila ketua negara Malaysia tidak bersama dengan pemimpin-pemimpin dunia lain di Glasgow, berapa orang yang perasan? Kalau perasan pun berapa orang yang bangkitkan ini sebagai isu.

Mungkin kita selesa kerana pemimpin Russia dan China, dua negara yang paling kuat mengeluarkan gas rumah hijau juga tidak hadir. Jadi Malaysia sama hebat dengan Russia dan China lah?

Persidangan antarabangsa sebegini ada seni dan adabnya. Siapa yang hadir, lama mana dia hadir, siapa yang dia jumpa dan siapa yang nak jumpa dia akan memberi gambaran akan kedudukan dan kesungguhan beliau di dalam isu yang dibincangkan.

Menghadiri sidang antarabangsa bukan setakat memenuhi agenda yang disediakan oleh tuan rumah. Persidangan sebegini bukan macam mesyuarat cawangan parti politik kampung.

Biasanya, mesyuarat-mesyuarat tepi (side meetings) di antara pemimpin dan pegawai dan mesyuarat bilateral dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai kepentingan dan pemikiran yang sama akan menyumbang kepada kejayaan agenda yang dibincangkan terutamanya di peringkat pelaksanaan.

Cuba perhatikan apa yang dipamirkan oleh delegasi dari Indonesia. Mereka bukan sahaja hadir dengan delegasi peringkat tertinggi tetapi menampakkan kesungguhan untuk turut terlibat dan mengambil tanggungjawab.

Walaupun Sri Mulyani adalah Menkue (menteri kewangan) dia amat menyerlah di dalam isu-isu kewangan yang bersangkutan dengan pemanasan dunia di samping Presiden Jokowi yang menghadiri kedua-dua persidangan, G-20 dan juga COP26. Kehadiran seperti ini akan mengukuhkan kedudukan Indonesia di mata negara-negara lain. Inilah kepimpinan.

Memanglah COP26 macam terbalik sedikit kerana dimulakan dengan persidangan ketua-ketua negara. Ini mungkin kerana ramai pemimpin-pemimpin dunia menghadiri persidangan G-20 di Rome beberapa hari sebelumnya.

Persidangan menteri-menteri COP26 diadakan di bahagian akhir persidangan minggu hadapan. Jadi sibuklah pegawai-pegawai membuat persiapan dengan pelbagai mesyuarat. Sekarang mereka membincangkan isu pembiayaan pula.

Jika struktur ekonomi kena diubah kerana nak capai Net Zero, akan ada kesan yang besar dan bantuan kewangan perlu diberikan terutamanya kepada negara-negara yang sedang membangung dan negara miskin.

Seperti yang saya nyatakan di atas, jika ketua negara tidak hadir, ianya menyatakan dengan jelas tahap kesungguhan negara berkenaan di dalam perkara yang dibincangkan.

Perubahan cuaca adalah isu besar yang bukan hanya akan berakhir pengisytiharan. Tindakan-tindakan susulan akan dibuat seperti mengenakan syarat-syarat baharu di dalam perdagangan dunia.

Ekonomi Malaysia bergantung kepada minyak fosil dan juga perladangan. Kedua-dua ini adalah penyumbang terbesar gas rumah hijau.

Inilah sebabnya di antara komitmen yang terhasil di COP26 ialah perakuan lebih 100 negara-negara untuk memberhentikan pembukaan hutan menjelang 2030.

Kalau nak masuk di dalam senarai ini pun perlahan, macamana dengan perkara-perkara lain? Saya tidak pelik negara-negara Barat akan menekan industri kelapa sawit dengan lebih kuat berdasarkan apa yang berlaku di COP26.

Pemimpin memimpin dari hadapan (lead from the front). Dia kena menzahirkan sasaran yang perlu dicapai dan menjelaskan langkah-langkah yang diambil.

Orang yang bercakap dari hati berbeza dengan orang yang sekadar membaca skrip yang disediakan oleh pegawai-pegawainya.

Di zaman ini saya tidak berasa pelik ramai orang yang membaca apa yang dia tidak tahu dan tidak faham pun. Mereka dinaikkan ke atas bukan di atas daya intelektual dan kepimpinan tetapi pandai bercakap perkara yang popular sahaja.

Saya tidak kata orang yang sangsi dengan COP26 ini tidak mempunyai alasan. Memang sudah banyak janji-janji manis yang tidak ditepati oleh negara-negara maju.

Namun, pemanasan dunia akan mempengaruhi cucu cicit kita, tak kira di mana mereka berada.

Jika itu bukan dikira masalah kita dan kita lebih fokus untuk memakan ikan bakar di Melaka, jenis apa jantunghati yang ada di dalam dada-dada kita?