Malaysia Dateline

‘Corruptor fight back’ dan tiba-tiba…

Tiba-tiba pada tahun 2018 ini, semua mata tertumpu pada isu ICERD yang telah lahir semenjak tahun 1960-an lagi. Orang Melayu Islam dikatakan khawatir akan nasib dan masa depan mereka di negara sendiri yang semakin dihimpit oleh bangsa pendatang. Pertanyaannya, apakah ICERD menjadi penyebab bangsa Melayu-Islam kalah bersaing di negara sendiri selama ini.

Tiba-tiba parti ketuanan Islam yang tidak mahu menyebut ketuanan Melayu dalam perjuangan mereka selama ini mengugut akan turun ke jalan bersama berjuta rakyat untuk membantah ICERD demi Melayu dan Islam.

Tiba-tiba seolah-olah semua rakyat Malaysia menjadi pakar undang-undang lantang membicarakan ICERD padahal menurut pemerhatian, majoriti mereka tidak faham sama sekali apa isu yang mereka laungkan.

Tiba-tiba NGO yang selama ini selalu minta derma kepada orang ramai menjadi kaya dan mampu mengadakan program dengan kerap nya. Hakikatnya hampir semua program itu mengandungi makna tersirat untuk menyerang kerajaan Malaysia baru yang tengah fokus menerapkan good governance (amar makruf), menerapkan rule of law (nahy munkar) dan kalau boleh semua salah silap ingin mereka letakkan di tangan Mujahid.

Tiba-tiba rakyat pura-pura tidak peduli pada 158 kes rasuah kerajaan lama yang melibatkan mantan PM, mantan Menteri, mantan setiausaha, mantan MB dan mantan orang kuat negara lainnya. Ada 1001 kes rasuah lain yang sedang ditangani oleh SPRM dan rakyat tidak peduli walaupun TV dan pelbagai media menyiarkan perjuangan melawan penjenayah itu setiap hari.

Tiba-tiba rakyat tidak peduli pada kejayaan kerajaan Malaysia baru yang berjaya mengembalikan berbilion kekayaan negara dalam kes 1MDB, Jho Low, kapal equanimity, DOJ dan sebagainya.

Tiba-tiba rakyat tidak peduli pada usaha kerajaan Malaysia baru yang melakukan penjimatan berbilion ringgit projek ECRL dan projek yang bermasalah rasuah dan bad governance lainnya.

Tiba-tiba rakyat lupa jerih payah kerajaan memotong gaji jemaah Menteri sebanyak 10%. Pelbagai macam intensif, prestasi, kualiti dan pencapaian kerajaan baru bagaikan air di daun keladi yang hilang tanpa bekas akibat isu ICERD yang dimainkan.

Tidak seperti pada kerajaan sebelumnya, media saat ini tiba-tiba sangat berani memberitakan kelemahan kerajaan baru dan memberitakan isu yang pada hakikatnya bertujuan untuk menyerang kerajaan walaupun tiada kaitan dengan bad governance, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan ketirisan.

Tiba-tiba rakyat lupa pada kes beg tangan yang berjuta harganya, tak peduli pada rumah mewah kereta besar dan barang kemas mahal mantan kerajaan lama dan 1001 kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran hukum dan undang-undang yang sangat membahayakan masa depan negara.

Corruptor Fight Back atau serangan balik perasuah sebenarnya perkara biasa dan ia berlaku di banyak negara. Sebagai seorang yang menulis tesis PhD tentang rasuah dan good governance saya banyak menjumpai istilah ini. Di Indonesia, Mesir, Syiria dan sebagainya Corruptor Fight Back telah menggagalkan usaha pembanterasan rasuah dan menciptakan good governance yang menjadi roh perjuangan rakyat mengganti kerajaan lama dahulu.

Untuk masyarakat awam, corruption fight back dengan mudah dapat difahami dalam film-film Hindustan. Di Indonesia mereka lakukan pelbagai macam cara, baik secara kasar mahupun halus dan ada juga yang masuk ke dalam sistem kerajaan itu sendiri. Di negara Arab seperti Syiria, Mesir dan bahkan Indonesia isu teroris, syi`ah, wahabi ajaran sesat, nasionalisme, kebangsaan sering mereka dendangkan dengan tujuan mengalihkan isu sebenar iaitu usaha kerajaan baru membanteras rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran hukum.

Korupsi atau rasuah dikenal sebagai white collar crime atau kejahatan kerah putih yang melibatkan para profesional, pakar dan orang yang memiliki pengaruh, mahir dalam satu bidang dan menguasai lapangan serta memiliki pangkat yang tinggi. Ertinya mereka bukanlah orang bodoh dan apa yang mereka lakukan adalah dengan pelbagai macam cara dan teknik agar tidak jadi masuk penjara. Ini kerana penjara adalah sangat menakutkan mereka yang hidup senang lenang bahagia dengan pelbagai macam pujian dan pengikut yang ramai selama ini. Apa yang dialami pembangkang puluhan tahun lamanya tidak mampu mereka hadapi kerana dari senang ke susah lebih berat daripada dari susah menjadi senang.

Corruptor Fight Back tidak menyerang melalui jalur hukum di mahkamah tetapi melalui jalan lain yang ada kalanya tiada kaitan dengan istilah dan nama rasuah itu sendiri.

Terakhir, kritik sebenarnya sangat baik dalam menyumbang ke arah kemajuan negara bangsa. Namun ada sesuatu yang musykil berlaku. Jika dulu pembangkang mengkritik kerajaan lama dari segi good governance, ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah seperti yang dilakukan oleh Rafizi, Mahfud Omar, Muhammad Sabu dengan angka-angka dan data serta fakta yang jelas, maka sekarang pembangkang mengkritik kerajaan baru pada isu yang tiada kaitan dengan good governance, penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan rasuah.