Malaysia Dateline

Covid-19: 10 kes baharu, tiada kematian hari ini

Jumlah kes baharu positif Covid-19 pada hari ini, kekal dua angka dengan 10 kes berbanding 15 kes pada semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 10 kes baharu yang dilaporkan itu adalah penularan tempatan.

Katanya, lima kes adalah bukan warganegara Malaysia dan tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Dengan 10 kes baharu itu, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,629 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 1,345 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Dimaklumkan juga, setakat dilaporkan hari ini, lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Bagi status terkini pesakit yang telah pulih, Dr Noor Hisham memberitahu, terdapat 86 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari wabak tersebut dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,169 kes bersamaan 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Hari ini tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes bersamaan 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi.