Malaysia Dateline

Covid-19: 1,116 kes baharu, lima kematian, 10 kluster hari ini

Sebanyak 1,116 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah 334,156 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara membabitkan lima warganegara dan tiga warga asing.

Menerusi kenyataan hari ini, Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi, 403 diikuti Kuala Lumpur dengan 158 kes baharu serta Sarawak, 124 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, 156 daripada 14,134 kes aktif dengan kebolehjangkitan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 60 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan hingga jam 12 tengah hari tadi terdapat lima kes kematian dilaporkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 1,238 kes iaitu 0.37 peratus.

Sebanyak 1,495 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah sebanyak 318,784 kes atau 95.4 peratus.

Sementara itu, terdapat 10 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan lapan kluster tempat kerja dan dua kluster komuniti.