Malaysia Dateline

Covid-19: 1,178 kes baharu, lima negeri masih tiga angka

Sebanyak 1,178 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 346,678 kes.

Daripada 1,178 kes pandemik itu, sebanyak 1,158 kes merupakan penularan tempatan manakala 20 kes import.

Sehingga kini sebanyak 14,399 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dilaporkan dan daripada jumlah itu 163 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 81 pesakit masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Sarawak muncul negeri tertinggi jumlah kes baharu positif Covid-19 dengan 238 kes.

Empat negeri lain juga merekodkan tiga angka iaitu Selangor dengan 237 kes, Pulau Pinang (190), Johor (165) dan Kuala Lumpur (101).

Kesemua negeri terbabit pada masa ini berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 14 April ini, manakala Sarawak sehingga 12 April.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memberitahu terdapat 1,377 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sudah pulih sepenuhnya daripada wabak berbahaya itu ialah 331,001 kes atau 95.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sebanyak enam kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,278 orang.