Malaysia Dateline

Covid-19: 119 kes pulih, dibenarkan pulang hari ini

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Sebanyak 119 kes Covid-19 telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini, maklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari wad, adalah sebanyak 2,766 kes.

“Justeru, bilangan kes yang dibenarkan pulang pada hari ini adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, terdapat 110 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif wabak itu di Malaysia adalah sebanyak 5,182 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,332 kes. Mereka juga telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham lagi sehingga kini, seramai 56 kes positif wabak berkenaan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, beliau berkata, 29 kes memerlukan penggunaan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian wabak itu di negara ini adalah sebanyak 84 kes atau 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-84 (kes ke-4711) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung serta darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 9 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 15 April 2020 jam 12.55 tengah hari,” katanya lagi.