Malaysia Dateline

Covid-19: 125 kes baharu positif, 12 dirawat di ICU

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 125 kes baharu positif jangkitan Covid-19 yang dilaporkan setakat 12.30 tengahari tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberitahu 95 kes daripada jumlah tersebut berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 553 kes positif iaitu 511 orang masih dirawat, 12 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 42 lagi pesakit sudah sembuh.

“Sehingga kini, seramai 12 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Mengambil kira siatuasi yang berlaku, KKM memaklumkan bahawa Malaysia telah memasuki pembendungan akhir iaitu ‘late containment’.

“Ia bertujuan membendung penularan Covid-19 daripada menjadi lebih serius di Malaysia,” katanya dalam sidang media di Tasik Perdana, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam masa sama, Adham memaklumkan KKM sedang membuat persiapan untuk memasuki tahap mitigasi.

Antara langkah yang diambil ialah menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai ‘admitting hospital’ khusus untuk merawat kes Covid-19 setelah mengenalpasti keupayaan makmal bagi menjalankan pengesanan wabak tersebut.

KKM turut mengenalpasti pusat kuarantin di seluruh negara dan bekerjasama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan fasiliti swasta dalam pengurusan Covid-19.

“Mereka yang kita temui adalah dari para doktor di klinik dan hospital swasta, Jakim dan kumpulan tabligh,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adham turut memaklumkan, lebih 7,000 daripada keseluruhan yang hadir ke perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling sudah tampil untuk menjalani ujian saringan ekoran permintaan pihak berkuasa secara berterusan termasuk dari ketua jemaah tersebut.