Malaysia Dateline

Covid-19: 13 daripada 16 kes baru penularan dalam negara

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 13 daripada 16 kes baru Covid-19 adalah penularan dalam negara.

Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sembilan daripada 13 kes itu melibatkan bukan warganegara manakala empat kes adalah rakyat Malaysia.

Dalam kenyataannya hari ini, sembilan kes jangkitan itu membabitkan dua kes dikesan di Selangor iaitu kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu kes ke 8,513 dari kluster syarikat pembersihan.

“Enam lagi kes dikesan di Negeri Sembilan daripada kluster Pedas dan satu kes dikesan ketika saringan tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau sebelum penghantaran pulang ke Indonesia,” katanya.

Bagi empat kes penularan dalam negara membabitkan warganegara Malaysia, beliau berkata, dua kes dikesan di Sarawak iaitu kontak rapat kepada kes 8,535 daripada kluster Kidurong.

“Masing-masing satu kes dikesan di Melaka dan Johor iaitu ketika saringan Orang Kena Tuduh (OKT) yang baru dimasukkan ke lokap dan saringan pra-pembedahan di hospital.

“Sehingga kini, tiga kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Bagi kes pulih, 10 kes dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 8,156 kes atau 95.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Tiada pertambahan kes kematian disebabkan Covid-19 dan jumlahnya kekal 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” jelasnya.

Menurut Dr Hisham lagi, jumlah kes kumulatif kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 8,572 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut setakat ini adalah 295 kes.