Malaysia Dateline

Covid-19: 135 pesakit pulih, 54 kes baharu

Sebanyak 135 kes berkaitan positif Covid-19 telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini, maklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka 135 itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari wad, adalah sebanyak 3,102 kes atau 58.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 54 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif wabak itu adalah sebanyak 5,305 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,115 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai 49 kes positif wabak ini dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga bimbang sekiranya penurunan jumlah kes dalam beberapa hari ini, disalaherti serta membuatkan masyarakat alpa.

“Lalu mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana memikirkan bahawa wabak ini hampir selesai.

“Susulan itu, kami ingin menasihatkan rakyat Malaysia agar terus patuh kepada PKP. Walaupun perkembangan dalam penurunan kes ini sememangnya positif namun masyarakat masih perlu berada di rumah.

“Amalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangya satu meter dari orang lain dan juga mengamalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun,” ujarnya lagi.