Malaysia Dateline

Covid-19: 150 kes baharu, jumlah kematian direkodkan 57

150 lagi kes baharu positif Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes pada petang Sabtu (4 April) adalah 3,483 kes, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, kes pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang adalah 88, menjadikan jumlah keseluruhan 915 kes.

Kata beliau lagi, sejumlah 99 kes kini dirawat di Unit Kawalan Rapi (ICU) dan 50 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati 80 daripada 150 kes baharu positif Covid-19 mempunyai kaitan dengan perhimpunan jemaah Tabligh di Masjid Jamek, Sri Petaling.

Katanya, majoriti kes Covid-19 yang direkodkan di negara ini adalah daripada kluster Tabligh.

Pada sidang media petang tadi Noor Hisham berkata, empat kematian direkodkan pada hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 setakat ini adalah 57 orang.