Malaysia Dateline

COVID-19: 16 kes penularan tempatan, 9 kes import

Perkembangan kes COVID-19 di Malaysia hari ini menyaksikan sebanyak 25 kes baharu telah dilaporkan yang melibatkan 9 kes import dan 16 kes lagi adalah penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 16 kes penularan di dalam negara, 15 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan 1 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

Katanya, 15 kes tempatan melibatkan negeri Perlis sebanyak 10 kes, Kedah 1 kes dan Pulau Pinang 1 kes daripada Kluster Sivagangga, manakala di Perak terdapat 2 kes Influenza Like Illness (ILI) di klinik sentinel dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanya 1 kes saringan bergejala.

“9 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan diluar negara yang melibatkan 8 warganegara Malaysia dan 1 bukan warganegara.

“9 kes import tersebut adalah dari negara, Filipina (4 kes di Sabah), Emiriah Arab Bersatu (1 kes di Selangor), Turki (1 kes di Selangor), Djibouti, Afrika Timur (1 kes di WP Kuala Lumpur), Australia (1 kes di WP Kuala Lumpur) dan Yaman (1 kes di Sarawak),” katanya.

Katanya, kes jangkitan dalam negara yang melibatkan bukan warganegara (1 kes) pula adalah saringan tahanan yang merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Johor.

Sehingga kini, terdapat 2 kes positif COVID-19 sedang dirawat di ICU, di mana 1 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Justeru, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).