Malaysia Dateline

COVID-19: 16 kes tempatan daripada 21 kes dilaporkan

Perkembangan COVID-19 pada hari ini menunjukkan sebanyak 21 kes baharu dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam satu kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,861 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 161 kes,” katanya.

Daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, katanya lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja.

Lima kes import tersebut adalah daripada negara Singapura (1 kes), Australia (1 kes), Filipina (1 kes), Pakistan (1 kes) dan Qatar (1 kes).

Daripada 16 kes penularan di dalam negara, 13 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia manakala tiga kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

Sehingga kini lima kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes,” katanya.