Malaysia Dateline

Covid-19: 1,647 kes baharu, 147 pesakit di ICU

Sebanyak 1,647 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini manakala 147 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Seramai 61 pesakit Covid-19 di ICU sehingga jam 12 tengah hari tadi masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 319,364 kes.

Menurutnya, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 712 kes diikuti Johor (170),  Pulau Pinang (169) dan Sarawak 168 kes.

Negeri lain yang masih merekodkan antara 50 hingga 100 kes baharu hari ini ialah Kuala Lumpur dengan 86 kes, Negeri Sembilan (79), Melaka (71), Perak (69) dan Sabah 61 kes.

“Sehingga kini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 17,544 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau memberitahu terdapat sembilan kes kematian dilaporkan membabitkan warganegara hari ini.

Pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 1,200 kes atau 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, terdapat 2,104 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 300,620 kes.