Malaysia Dateline

COVID-19: 1,700 warga Medicare di Hospital Umum Sarawak tetap kental

Pada 12 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengkategorikan situasi penularan COVID-19 sebagai pandemik.

Rentetan kepada siri kes COVID-19 ini, ia bukan sahaja menjadi mimpi ngeri untuk China malah buat seluruh dunia termasuk di negara kita, Malaysia.

Namun, di sebalik penularan COVID-19, terselit pengorbanan warga kerja One Medicare Sdn Bhd seramai lebih 1,700 orang di 23 buah hospital di seluruh Sarawak yang berusaha siang dan malam membantu pesakit dan membendung penyebaran jangkitan virus baharu ini.

Antara mereka ialah Operator Pembersihan, Porter, Pekerja Bahagian Linen dan Pendobian, Pemandu Lori Sisa-sisa Klinikal dan Juruteknik telah bersengkang mata, berjauhan daripada keluarga, mengambil risiko melaksanakan tanggungjawab dan berkhidmat untuk komuniti bagi mengekang terus tersebarnya jangkitan virus berkenaan.

Kita mungkin tidak dapat melihat dengan dekat mereka yang bekerja di sebalik tabir ini, tetapi merekalah wira tidak didendang kerana usaha dan pengorbanan mereka membolehkan kita meneruskan hidup seperti biasa tanpa terlalu risau akan penularan COVID-19.

Mereka kental berada di barisan hadapan membantu kakitangan lain di hospital dalam menghadapi virus ini setiap masa dan hari.

Acap kali kita setia menanti akan perkembangan mutakhir daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan dengan wabak COVID-19, namun, yang menyedihkan kita, di sebalik pengorbanan mereka ini ada segelintir masyarakat menyebarkan pelbagai fitnah dan berita palsu untuk menakut-nakutkan orang ramai serta menimbulkan kegusaran awam tanpa memikirkan kesan dan semangat moral terhadap mereka yang bertugas di balik tabir ini.

Pengorbanan warga kerja One Medicare Sdn. Bhd. yang terdiri daripada Operator Pembersihan, Porter, Pekerja Bahagian Linen dan Pendobian, Pemandu Lori Sisa-sisa Klinikal dan Juruteknik cukup besar dalam isu COVID-19 ini.

Jika tidak kita sendiri menghargai wira-wira ini, siapa lagi? Terima kasih diucapkan dan jasa anda sentiasa dikenang!