Malaysia Dateline

COVID-19: 18 kes baharu, 4 kluster dikenalpasti hari ini

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan terdapat 18 kes baharu yang telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,755 kes.

Susulan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 92 kes bagaimanapun mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Katanya, daripada 18 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tujuh orang warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

“Daripada lapan kes penularan di dalam negara, enam kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Terdapat tiga kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,’ katanya.

Hari ini tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes.

Sementara itu, Hisham memberitahu terdapat empat buah kluster baharu yang telah dikenalpasti pada hari ini.

Iaitu, Kluster PUI Pitakwa, katanya kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8737) yang telah pulang ke Malaysia dari negara Nigeria pada 11 Julai 2020.

Tambahnya, saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA mendapati beliau negatif malangnya tiga hari selepas ketibaan di Malaysia beliau perlu menjalani ujian ulangan bagi COVID-19 kerana mula mengalami gejala yang lebih teruk di mana beliau dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Susulan itu, 44 kontak rapat telah dikenalpasti dan disaring terutama dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan krewkapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja, dua dikesan positif COVID-19, tiga negatif dan 39 masih menunggu keputusan,” katanya.

Kluster kedua, Kluster PUI Shirala katanya, merupakan seorang bukan warganegara golongan professional (iaitu kes ke-8730) dan telah tiba di Malaysia pada 6 Julai 2020 atas urusan kerja.

“Saringan COVID-19 di India dan kemudiannya di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif. Lima hari selepas ketibaan di Malaysia beliau perlu menjalani ujian ulangan bagi COVID-19 kerana mula
mengalami gejala 11 Julai 2020 dan dikesan positif COVID-19. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,”katanya.

Kluster Pusat Perubatan Kuching, katanya merupakan seorang warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8734) yang telah menjalani saringan COVID-19 kerana beliau berisiko tinggi (petugas kesihatan barisan hadapan), namun tidak mempunyai gejala.

“Beliau dikesan positif COVID-19 pada 14 Julai 2020 dan kemudiannya telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak. Setakat ini, satu kes dikesan positif COVID-19 daripada 26 kontak rapat telah dikenalpasti termasuk ahli keluarga dan rakan sekerja,”katanya.

Kluster keempat adalah Kluster Jupiter merupakan seorang bukan warganegara (iaitu kes ke-8723) merupakan seorang krew sebuah kapal yang berlayar dan mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun dan Singapura.

“Beliau mula mengalami gejala pada 3 Julai 2020 dan gejala menjadi semakin teruk pada 11 Julai 2020 di perairan Sarawak.

Beliau telah dimasukkan ke pusat perubatan dan saringan COVID-19 didapati positif dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Bintulu, Sarawak.

“Susulan itu, 29 kontak rapat telah dikenalpasti di dalam kapal tersebut di mana kesemuanya adalah merupakan krew kapal. Daripada dua dikesan positif COVID-19 27 negatif.