Malaysia Dateline

Covid-19: 187 kes baharu, 62 pesakit pulih, tiada kematian dicatatkan

Sebanyak 187 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,604 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, daripada 187 kes baru yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu tujuh warganegara Malaysia dan tiga pemastautin tetap atau pasangan kepada warganegara Malaysia.

Katanya, daripada 177 kes penularan tempatan, 173 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 155 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil dan 13 kes daripada Kluster Pengawal Keselamatan Cheras.

“Kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah empat kes sahaja.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,448 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memberitahu, terdapat 62 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari wabak itu dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,041 kes bersamaan 79.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Daripada maklumat terkini juga, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian wabak ini di Malaysia kekal sebanyak 115 kes bersamaan 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya lagi.