Malaysia Dateline

Covid-19: 1,973 pulih, 155 pesakit di ICU hari ini

Pesakit sembuh Covid-19 hari ini direkodkan sebanyak 1,973 kes menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan pulih sebanyak 308,247.

Dalam masa sama, terdapat 1,208 kes positif baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 324,971 dengan 15,511 kes aktif.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sembilan daripada kes yang dilaporkan itu membabitkan kes import dengan dua daripadanya adalah rakyat tempatan dan tujuh lagi warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 1,199 kes lagi adalah penularan tempatan dengan 920 atau 76.7 peratus terdiri daripada warga negara manakala 279 atau 23.3 peratus warga asing.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 379 kes (31.4 peratus) dan daripada jumlah ini, sebanyak 333 kes (87.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 251 kes (20.8 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 142 kes (11.8 peratus),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 155 pesakit Covid-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 70 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, KKM merekodkan tiga lagi kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,213 kes atau 0.37 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini.