Malaysia Dateline

COVID-19: 2 kanak-kanak antara empat kes direkodkan di Sarawak

Dua kanak-kanak adalah antara empat kes baharu positif COVID-19 yang direkodkan di Sarawak semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kesemua kes telah dikesan di Daerah Kuching sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negeri ini meningkat kepada 763 kes.

“Terdapat empat kes baharu COVID-19 iaitu kes jangkitan tempatan dikesan di Daerah Kuching dengan kesemua kes ini adalah kontak rapat kepada kes positif COVID- 19 yang dikesan melalui saringan kali kedua iaitu pada hari Ke-10 semasa kontak-kontak ini di dalam arahan kuarantin 14 hari.

“Indeks kes kepada kes-kes ini ialah kes Ke-719 iaitu seorang warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 (Sabah) sebelum disaring dan didapati positif COVID-19 pada 6 Oktober lalu.

“Dengan ini keempat-empat kes itu terdiri daripada kes Ke-760, kes Ke-761, kes Ke-762 dan kes Ke-763 yang masing-masing mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19,” jelas JPBN dalam satu kenyataan.

JPBN menambah, kes Ke-760 melibatkan lelaki warganegara tempatan, kes Ke-761 (kanak-kanak lelaki warganegara tempatan), kes Ke-762 (wanita warganegara tempatan) dan kes Ke-763 melibatkan kanak-kanak lelaki warganegara tempatan.

Tegas JPBN, masa pendedahan kes-kes terbabit ialah antara 2 hingga 6 Oktober lalu semasa Kes Ke-719 menjalani kuarantin di rumah.

“Saringan ujian rT-PCR pertama telah dijalankan pada 6 Oktober dan keempat-empat kes ini telah didapati negatif COVID-19 pada 8 Oktober lepas.

“Kesemua mereka telah dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani baki arahan kuarantin 14 hari selepas terdapat tiga kes baharu dikesan pada saringan pertama pada 8 Oktober. Kes-kes ini telah disaring kali kedua pada 16 Oktober dan keputusan ujian rT-PCR mereka telah didapati positif semalam.

“Sebelumnya, kesemua kes ini tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan COVID-19 dan mereka telah pun dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut,” ujar JPBN.

Pada masa sama, JPBN memaklumkan tiada kluster baharu yang telah dikesan semalam, tetapi terdapat dua kluster iaitu Kluster Bah Arnab di Kuching dan Kluster Putra di Daerah Bintulu masih aktif setakat ini.

Sementara itu, empat daerah iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Lubok Antu kekal berstatus Kuning manakala 36 daerah lain di Sarawak kekal berstatus Hijau.