Malaysia Dateline

Covid-19: 2 lagi kematian, 123 kes baharu direkodkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan bahawa sehingga jam 12.00 tengah hari, terdapat 123 kes baharu dilaporkan menjadikan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 1,306 kes.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal yang dilaporkan hari ini, 74 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan Tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, sementara 49 kes yang lain masih dalam siasatan.

“Sehingga kini, seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 22 memerlukan bantuan pernafasan,” kata beliau.

Manakala jumlah kematian akibat wabak berkenaan jelas beliau, hari ini direkodkan dua (2) kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sepuluh (10) kes.

“Kes kematian ke-9 merupakan kes ke-890 berumur 48 tahun lelaki warganegara Malaysia. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara ke Turki. Beliau merupakan kakitangan KKM yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Tengku Fauziah, Kangar.

“Kes ke-10 adalah melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 74 tahun daripada kluster Tabligh, iaitu kes ke-259. Beliau dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac 2020 setelah mengalami simptom pada 8 Mac 2020. Beliau disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac 2020,” kata Noor Hisham.

Beliau juga memaklumkan bahawa sehingga 22 Mac 2020, bilangan anggota KKM yang telah menjalani saringan pengesanan Covid-19 adalah seramai 460 orang.

Daripada jumlah itu katanya, 270 didapati negatif manakala 190 lagi masih menunggu keputusan.