Malaysia Dateline

COVID-19: 2 kes baharu dicatatkan di Malaysia

Dua orang masing-masing warganegara Jepun dan Itali telah dikenalpasti positif COVID-19, sekali gus menjadikan 25 kes secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes ke-24 melibatkan seorang wanita berusia 41 tahun (warganegara Jepun) yang bekerja di negara ini.

Beliau berkata, pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun pada bulan Januari dan juga ke Indonesia pada awal Februari.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

“Pesakit mempunyai gejala demam dan telah mendapat rawatan pada 17 Februari 2020. Beliau telah dimasukkan ke hospital swasta pada 20 Februari 2020.

“Ujian pengesanan COVID-19 diambil bagi kes ini dan disahkan positif pada 27 Februari 2020. Kini beliau sedang dirawat di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur.

“Kes ke-25 pula merupakan seorang lelaki berusia 54 tahun warganegara Itali yang berkahwin dengan warganegara Malaysia dan telah menetap di negara ini. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Itali atas urusan kerja pada 15 hingga 21 Februari 2020.

“Ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 28 Februari 2020. Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dengan pelaporan dua kes terbaharu itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes COVID-19 sehingga hari ini adalah sebanyak 25 kes.

“Iaitu 15 orang dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), lapan orang dalam kalangan kontak rapat dan dua orang dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah tersebut, 15 orang adalah warganegara China, tujuh orang adalah warganegara Malaysia dan tiga orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali).

“Daripada 25 kes positif ini, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj, menjadikan kes yang masih menerima rawatan di wad pada ketika ini seramai tiga orang,” katanya lagi.