Malaysia Dateline

Covid-19: 2 kes import, 13 kes bukan warganegara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) memaklumkan terdapat 15 kes baru positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan di Malaysia sebanyak 8,587 kes setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga memberitahu tiada kes penularan Covid-19 dalam negara hari ini membabitkan warganegara Malaysia selepas pertama kali direkodkan pada 9 Jun lalu.

“Dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara di mana mereka adalah warganegara Malaysia.

“Tiada kes penularan di dalam negara di kalangan warganegara. Kesemua 13 kes penularan di dalam negara adalah di kalangan bukan warganegara,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, bagi kes melibatkan bukan warganegara, satu daripadanya adalah kes saringan pra pembedahan di Hospital Selayang, Selangor, manakala 12 lagi daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan.

Beliau turut memaklumkan 21 individu telah pulih daripada Covid-19 dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya kepada 8,177 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, jelasnya, sebanyak 289 pesakit yang telah diasingkan dan diberi rawatan merupakan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Tiada juga pertambahan kes kematian hari ini, ujarnya, menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal 121 orang atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya lagi, dua pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi tiada lagi yang memerlukan bantuan pernafasan.