Malaysia Dateline

COVID-19: 2 kes pulih sepenuhnya, tiada kes terbaru dilaporkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan dua lagi kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah lewat petang semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata dua kes tersebut melibatkan pasangan suami isteri yang merupakan kes ke 20 dan 21 yang disahkan positif COVID-19 pada 14 Februari.

“Kes ke-20 merupakan seorang lelaki warganegara China berumur 27 tahun manakala Kes ke-21 merupakan seorang wanita warganegara China berumur 32 tahun.

“Sehubungan itu, jumlah kes yang telah pulih sepenuhnya dan discaj sehingga hari ini ialah 17,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan tandatangan persefahaman (MoU) antara Universiti Malaya dan Johnson and Johnson Sdn Bhd, di UM hari ini.

Pada masa sama, KKM juga memaklumkan bahawa tiada kes baru dilaporkan sehingga hari ini, 20 Februari 2020.

Dengan itu, jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 22 kes dengan hanya lima kes masih dirawat di wad.

Menurutnya, kesemua lima kes yang masih dirawat seperti berada dalam keadaan stabil di mana tiga pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dan seorang di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Manakala seorang lagi masih ditempatkan di Hospital Sungai Buloh yang membabitkan seorang wanita Warganegara Amerika yang berumur 83 tahun.