Malaysia Dateline

COVID-19: 20 mangsa dikenalpasti dari kluster Bali di Kuantan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenalpasti sub-kluster baharu iaitu Kluster Person Under Investigation (PUI) Bali di Kuantan.

Kluster ini melibatkan golongan pesakit dan beberapa anggota kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan.

Sehingga 13 April 2020, 20 orang telah dikenalpasti di dalam kluster ini, iaitu 14 orang sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang, dua orang telah sembuh, tiga orang dirawat di unit rawatan rapi dan seorang telah meninggal dunia (kes ke-1575).

Sub-kluster baharu ini di kesan susulan aktiviti tertumpu (targeted approach) yang telah dijalankan oleh KKM melalui pengesanan, penyaringan, ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi.

Pengarah KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataannya berkata, daripada keseluruhan jumlah tersebut, terdapat tiga nggota kesihatan yang terlibat dalam kluster ini.

“Kes indeks (iaitu kes ke-4684) bagi kluster ini mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia. Beliau kemudiannya mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1575 (iaitu abang kepada kes indeks).

“Kes ke-1575 kemudiannya telah menjangkiti 7 kes generasi kedua dan 11 kes generasi ketiga,” katanya.

Terdapat 339 kontak rapat telah dikenalpasti dan ujian saringan COVID-19 telah dijalankan, termasuk 202 anggota kesihatan.