Malaysia Dateline

Covid-19: 22 kes baharu dan tiada kematian dicatat

Malaysia merekodkan 22 kes baharu positif Covid-19, dengan lima daripadanya merupakan kes import kerana mereka dijangkiti di luar negara.

Pertambahan 22 kes tersebut menjadikan kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 6,894 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 17 daripada 22 yang dijangkiti itu merupakan kes tempatan, sembilan daripadanya adalah warga asing.

Kes pulih dan telah discaj adalah sebanyak 59 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih dan discaj adalah sebanyak 5,571 atau 80.0%.

Tiada kematian dicatatkan hari ini dan jumlah mereka yang dirawat di Unit Kawalan Rapi (IICU) adalah sebanyak 13 kes, dan 7 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam sidang medianya petang tadi, Dr Noor Hisham berkata, KKM khuatir melihat peningkatan pergerakan dan perjalanan individu merentas negeri, terutamanya menjelang perayaan yang bakal tiba.

Katanya, seperti yang telah diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), pemeriksaan yang telah dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 15 Mei 2020 mendapati bahawa sebanyak 508 kenderaan telah cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung.

“Jumlah ini telah meningkat pada 16 Mei 2020, iaitu kepada 1,248 kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung. Mereka telah diarah berpatah balik oleh PDRM.

“KKM menghargai usaha dan berterima kasih atas tindakan penguatkuasaan oleh pihak PDRM bagi memastikan pematuhan masyarakat kepada syarat-syarat PKPB terus kekal tinggi. Ini penting supaya orang ramai tidak menyalahgunakan kelonggaran yang telah diberikan oleh Kerajaan.

“Sehingga 17 Mei 2020, sebanyak 971 kes positif COVID-19 (atau 14.1 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes COVID- 19 (6,894 kes) telah mempunyai sejarah merentas negeri,” katanya.

Ujar beliau, sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan di Malaysia juga adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri, 10 daripada kluster-kluster tersebut adalah masih aktif.