Malaysia Dateline

Covid-19: 2,232 kes baharu, 8 lagi kluster baharu dikesan

Jangkitan baharu Covid-19 hari ini terus mencatatkan angka 2,232 kes positif dengan lapan lagi kluster baharu dikesan.

Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 mencecah 138,224 jangkitan dengan 28,554 kes aktif, setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia meliputi enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 2,226 lagi penularan tempatan.

Bagi penularan di dalam negara, beliau berkata, 1,769 kes membabitkan rakyat Malaysia (79.5 peratus) dan 457 lagi bukan warganegara.

“Selangor melaporkan jangkitan baharu harian tertinggi, iaitu 557 kes (25.0 peratus).

“Daripada jumlah itu, 404 kes (72.5 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Johor dengan 396 kes (17.7 peratus) dan Sabah yang melaporkan 374 jangkitan (16.8 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, empat kes kematian dilaporkan termasuk seorang bukan warganegara melibatkan individu berusia 47 hingga 56 tahun dengan tiga daripada mereka mempunyai penyakit kencing manis.

Sehubungan itu, jumlah kes kematian Covid-19 di negara ini setakat tengah hari tadi ialah 555 kes kematian.

Sementara itu, sebanyak 594 kluster telah dilaporkan setakat ini selepas lapan lagi kluster baharu jangkitan Covid-19 dikesan iaitu di Johor, Selangor, Sarawak, Kelantan, Perak dan Terengganu.

“Kluster Jalan Keluli membabitkan tempat kerja ini di daerah Kota Tinggi, Johor Bahru dan Segamat di Johor.

“Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 30 Disember lalu, hasil saringan bersasar di sebuah kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Johor,” katanya lagi.