Malaysia Dateline

Covid-19: 2,433 kes baharu, 9 kes kematian hari ini

Terdapat pertambahan 2,433 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes mencecah 135,992 manakala terdapat 27,332 kes aktif dengan kebolehjangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor merekodkan kes harian tertinggi hari ini, 730 kes atau 30 peratus daripada keseluruhan kes.

“Daripada jumlah ini, 510 kes (69.9 peratus) adalah daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Sabah dengan 403 kes baharu (16.6 peratus) dan Johor iaitu 321 kes (13.2 peratus). Sebanyak 86 kes (3.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster dalam lokap, depot tahanan imigresen dan penjara.

“Antaranya, Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), dan Kluster Tembok Choh (1 kes),” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, sembilan kes kematian disebabkan Covid-19 setakat 12 tengah hari tadi melibatkan individu berusia 37 hingga 94 tahun.

Kesemua yang terkorban mempunyai latar belakang penyakit antaranya penyakit kencing manis, darah tinggi, dan buah pinggang kronik.

Lima kes kematian berlaku di Selangor diikuti Kuala Lumpur (3) dan satu kes di Sabah.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 551 kes bersamaan 0.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.