Malaysia Dateline

Covid-19: 30 kes baharu dilaporkan, 1 kematian

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa sehingga tengah hari Selasa, 5 Mei, terdapat 30 kes baharu positif Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di negara ini sebanyak 6,383 kes.

Daripada kesemua 30 kes, tiada kes import dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini.

Kadar pesakit pulih Covid-19 di Malaysia kini adalah pada 71.55 peratus daripada keseluruhan kes positif. Kes yang masih aktif dan sedang dirawat adalah sebanyak 1,710 kes.

Kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang adalah sebanyak 83 kes dan ini bermakna 4,567 kes telah pulih daripada Covid-19 sejak ia mula menular di negara ini.

KKM memaklumkan terdapat satu kematian dilaporkan menjadikan keseluruhan kes kematian sebanyak 106 kes.

Menurut Dr Noor Hisham mangsa adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 47 tahun, Beliau meninggal dunia pada jam 2.10 pagi pada 5 Mei.