Malaysia Dateline

Covid-19: 30 kes positif, 95 pulih, tiada kematian

Jumlah kes baharu positif Covid-19 pada hari ini, kembali dengan dua angka iaitu 30 kes berbanding 103 kes pada semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 30 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Katanya, daripada 27 kes penularan tempatan, 17 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia, manakala kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah 10 kes sahaja.

“Sehingga kini, seramai sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dengan 30 kes baharu dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,762 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 1,317 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Bagi status terkini pesakit yang telah sembuh, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 95 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,330 kes bersamaan 81.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Dimaklumkan juga bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian wabak itu di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau bersamaan 1.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya lagi.