Malaysia Dateline

Covid-19: 31 pesakit pulih, 37 kes baharu, 1 kematian

Sebanyak 37 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,978 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, daripada 37 kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Manakala 35 kes adalah penularan tempatan di mana 22 kes adalah bukan warganegara Malaysia.

“Sehingga kini, terdapat 11 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dimaklumkan juga, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,218 kes,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 31 kes telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari wabak itu dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,646 kes iaitu bersamaan 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Dukacita juga dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian wabak ini di Malaysia adalah sebanyak 114 kes bersamaan 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-114 (kes ke-6942) adalah wanita warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah hati.

“Beliau telah dirawat di sebuah pusat perubatan di Pahang dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mei 2020 jam 3.09 pagi,” katanya lagi.