Malaysia Dateline

Covid-19: 317 kes positif melibatkan kanak-kanak 12 tahun ke bawah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan, sebanyak 317 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 112 kes (35 peratus) adalah di kalangan kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah, manakala 22 kes (7 peratus) di kalangan bayi kurang daripada 1 tahun.

“Setakat ini tiada kes kematian positif Covid-19 telah dicatatkan di kalangan kanak- kanak bawah 12 tahun.

“Negeri Selangor telah mencatatkan bilangan kes positif Covid-19 yang tertinggi di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun iaitu 77 kes.

“Ia diikuti Negeri Sembilan (48 kes), Johor (46 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (28 kes), dan Sabah (26 kes),” katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga ingin memaklumkan bahawa selain daripada warga emas, kumpulan kanak-kanak dan bayi adalah juga merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak Covid-19

“Kanak-kanak dan bayi perlu dilindungi agar mereka tidak mudah terdedah dan dijangkiti Covid-19.

“Kanak-kanak dan bayi memerlukan ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang lebih tua untuk melindungi kanak-kanak dan bayi daripada bahaya jangkitan Covid-19.

“Ibu bapa dan penjaga perlu memberi didikan kepada kanak-kanak agar mereka dapat mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun, dan sangat digalakkan memakai penutup mulut dan hidung (face mask) di kawasan umum (terutamanya kawasan yang sesak),” katanya lagi.