Malaysia Dateline

Covid-19: 32 peratus kes baharu dikesan di Selangor, 259 di ICU

Sebanyak 32 peratus daripada 3,384 kes baharu Covid-19 hari ini dikesan di Selangor.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 bertambah kepada 254,988 kes dengan 51,783 kes aktif.

Sejumlah 3,369 kes jangkitan membabitkan kes tempatan, merangkumi 1,954 atau 58 peratus rakyat negara ini manakala 1,415 kes iaitu 42 peratus adalah warga asing.

Sebanyak 15 kes import turut dicatatkan dengan 10 daripadanya adalah bukan warganegara.

Jumlah pesakit yang sembuh daripada wabak itu pula sebanyak 3,774 kes hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 202,269 atau 79.3 peratus daripada keseluruhan jangkitan.

Dalam masa sama, seramai 259 pesakit Covid-19 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 122 individu memerlukan bantuan alat pernafasan.

Covid-19 juga hari ini meragut nyawa lagi 13 orang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik dari Wuhan itu melonjak kepada 936 kes 0.37 peratus daripada keseluruhan jangkitan.