Malaysia Dateline

COVID-19: 33 kes baharu, 3 kes melibatkan warganegara Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 103 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,168 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sehingga 12 Jun 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 33 kes baharu yang telah dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,402 kes.

Daripada 33 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 17 kes penularan di dalam negara membabitkan 14 kes adalah bukan warganegara dan tiga kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

Sehingga kini, sebanyak empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, hari ini dimaklumkan terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 119 kes.

Kes kematian ke-119 (kes ke-8370) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 85 tahun.

Beliau telah meninggal dunia pada 11 Jun 2020 di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Keningau, Sabah. Ujian saringan ke atas beliau telah didapati positif COVID-19.