Malaysia Dateline

COVID-19: 354 kes baharu, 6 pesakit meninggal dunia

Terdapat 354 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia
adalah sebanyak 14,722 kes, demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarahnya Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 3,863 kes telah diasingkan dan diberi rawatan.

Daripada 354 kes baharu yang dilaporkan, katanya dua kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan warganegara Malaysia yang mengembara dari negara India dan Oman.

“Daripada 352 kes penularan di dalam negara, 332 kes adalah warganegara Malaysia dan 20 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada 352 kes penularan di dalam negara, 23 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 324 kes,” katanya.

Tambah beliau, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan enam kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 152 kes (1.03 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, katanya, terdapat 68 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Hisham, jika dilihat pecahan utama jumlah kes hari ini, negeri Sabah mencatat 274 kes (77.4 peratus) berikutan lebih banyak aktiviti saringan dijalankan di lapangan, terutama di tujuh buah daerah PKPD.

“Negeri Kedah hanya mencatat 10 kes (2.82 peratus) susulan kejayaan kawalan bagi Kluster Tembok di penjara. Negeri-negeri Lembah Klang pula merangkumi 10.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Negeri Selangor mencatat 24 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 10 kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya 2 kes,” katanya.